Sime Darby Plantation Ditjenamakan Semula Sebagai SD Guthrie

Jenama baru ‘SD Guthrie’ telah diluluskan oleh para pemegang saham Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation atau Syarikat) dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan hari ini.

Pada EGM yang berlangsung selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 SD Plantation, Resolusi Khas untuk menukar nama Syarikat kepada jenama baru ini telah diluluskan dengan sokongan memberangsangkan daripada pemegang saham, dengan 99.99% undian setuju.

Sekitar 80% saham SD Plantation dimiliki oleh institusi-institusi utama di Malaysia termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan [Diperbadankan] (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Sokongan padu ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan pemegang saham kami,” kata Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani. “SD Guthrie adalah jenama yang sangat bermakna bagi Syarikat kami. Selepas lebih dua abad, kami teruja untuk membuka lembaran baharu dengan jenama yang penuh bersejarah ini.”

Dalam transformasi ini, Syarikat turut mengucapkan penghargaan kepada para pemegang saham, kakitangan, pelanggan, dan semua pihak berkepentingannya atas sokongan berterusan mereka. Permohonan penjenamaan baharu Syarikat juga telah dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk kelulusan.

Jenama SD Guthrie menghormati dua nama terkemuka dalam industri perladangan Malaysia – Kumpulan Guthrie Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad. Nama Guthrie juga berkait dengan tindakan berani PNB pada tahun 1981, yang dikenali sebagai ‘dawn raid’ di Bursa Saham London, yang memindahkan kawalan penuh Guthrie kepada Malaysia. Pada tahun 2007, Guthrie dan Sime Darby bergabung dengan Golden Hope Plantations untuk membentuk Sime Darby, di mana SD Plantation merupakan divisyen terbesar.

SD Plantation disenaraikan sebagai syarikat awam secara berasingan di Bursa Malaysia pada 30 November 2017, selepas pemecahan Sime Darby menjadi tiga entiti: Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, dan SD Plantation. Kekeliruan sering timbul dalam pasaran kerana ketiga-tiga syarikat tersebut berkongsi jenama dan logo yang sama. Selain itu, pemilikan jenama ‘Sime Darby’ oleh Sime Darby Berhad memberi kekangan kepada SD Plantation dalam mengembangkan operasi. Sebagai pemegang lesen jenama, SD Plantation dikenakan bayaran tahunan dan perlu memohon kebenaran untuk sebarang penggunaan jenama tersebut.

“Sebagai SD Guthrie, kami akan terus memacu nilai jangka panjang bagi pihak berkepentingan kami. Peluang pertumbuhan dalam sektor-sektor berkaitan yang akan kami terokai selaras dengan nilai dan tujuan kami telah dikenalpasti,” kata Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation. Pada 7 Mei 2024, SD Plantation mengumumkan cadangan kerjasama dengan PNB serta kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam membangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian di Perak, yang termasuk ladang tenaga solar seluas 660 ekar sebagai sumber tenaga hijau utama.

Logo baru SD Guthrie akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, SD Plantation akan terus didagangkan di Bursa Malaysia sebagai Sime Darby Plantation Berhad (Kod Saham: 5285) sehingga jenama baru diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Source link